Saturday, September 8, 2007

Sunday, September 2, 2007

'Pertahankan kualiti pendidikan'

SEMPENA tahun baru 2008, pelbagai pihak berharap bidang pendidikan negara akan terus berkembang pesat bagi mencapai matlamat Malaysia menjadi hab kecemerlangan pendidikan, sekali gus menjana modal insan holistik dan bermutu tinggi.

Pada masa sama, mereka turut meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebajikan guru dengan melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan, terutama menangani isu berkaitan perjawatan dan peluang kenaikan pangkat secara berkesan.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata kemajuan pendidikan amat penting untuk melahirkan modal insan berkebolehan dan berkeupayaan sesuai dengan keperluan negara serta cabaran globalisasi.

Justeru, sebagai langkah persediaan merealisasikan hasrat berkenaan, bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata, antara aspek utama harus diberi penekanan ialah memastikan kualiti pendidikan sentiasa terpelihara tanpa kompromi.

Selain itu, katanya, berusaha melahirkan lepasan sekolah yang bukan saja boleh menghafal tetapi memiliki kuasa fikir, intelek, inovasi dan reka cipta bertepatan Falsafah Pendidikan Negara serta mempunyai nilai moral tinggi.

“Seterusnya, mengatasi jurang perbezaan mutu pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar. Segala usaha ini harus bermula dari akar umbi, iaitu peringkat sekolah rendah.

“Ini kerana kemajuan dan kemantapan pendidikan bermula peringkat berkenaan secara langsung akan menyelesaikan banyak masalah dalam proses penjanaan modal insan pada tahap sekolah menengah pula,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dalam konteks berkaitan, Abdul Rahman menegaskan, kecemerlangan bidang pendidikan negara harus dilengkapi dengan kemajuan intelek, moral, nilai estetika secara holistik, kesedaran tanggungjawab terhadap negara dan juga nilai sosial masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, perubahan dalam bidang pendidikan tidak boleh dilakukan sekali gus kerana ia memerlukan sumber mencukupi, terutama dari segi keperluan kewangan dan tenaga.

“Usaha ini amat memerlukan penggemblengan sumber tenaga secara berkesan dengan pembekalan kelengkapan mencukupi dan kepemimpinan sekolah yang jitu.

“Selain itu, guru berdedikasi serta maju yang mendapat pendedahan ilmu pengetahuan terkini kerana pendidikan bukanlah suatu bidang statik,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula berharap warga pendidik memberi komitmen penuh untuk menjayakan matlamat Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata guru juga perlu lebih komited terhadap tugas bagi melahirkan pelajar berfikiran kritis dan menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira dengan mantap pada semua peringkat pendidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, NUTP juga berharap Kementerian Pelajaran akan menyelesaikan beberapa isu kritikal berhubung kebajikan guru, termasuk mempercepat proses pelarasan gaji dan urusan kenaikan pangkat.